Sunday, November 13, 2011

Dia Datang Lagi...


Musim peperiksaan datang lagi. Bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini, Selamat Menghadapi Peperiksaan saya ucapkan. Tidak lupa buat dua adik saya yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM pada 14 November dan 16 November ini. Setelah hampir dua tahun bertungkus-lumus mengulangkaji mata pelajaran yang diambil, kini tiba masa untuk dikeluarkan semula apa yang telah dipelajari. Untung nasib badan apa yang dibaca dan apa yang diramal akan keluar di dalam soalan dan begitu jugalah sebaliknya.

Saya rasa dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba, ada baiknya jika kita bertenang sekejap. Tarik nafas dan hembuskan nafas sebaik-baiknya. Perhatikan kehijauan alam dan kebiruan awan. Renung sejenak 'kebelakang'. Apakah tanggungjawab terhadap tuhan kita laksanakan? Dimanakah keredhaan ibu dan ayah kita? Adakah guru-guru kita memberkati apa segala yang diajarkan kepada kita? Pernahkah kita melukai perasaan kawan-kawan kita? Atau perlukah kita memaafkan mereka yang pernah menyakiti kita?

Bukan mahu sesakkan fikiran tatkala peperiksaan makin hampir di sisi. Sekadar mengingatkan apa yang selalu kita lakukan sewaktu peperiksaan hampir menjelma. Langkah mudah yang harus diambil tanpa perlu berfikir itu dan ini. Kita tenangkan diri dengan memuji kebesaranNya. Memohon, merayu, mengadu dan sebagainya kepada Yang Maha Pencipta. Kita mohon restu kedua ibu bapa. Mohon segala apa yang diberi dihalalkan dunia dan akhirat. Kita cium tangan, pipi, dahi agar segala kekusutan terurai dan terlerai bersama keikhlasan yang ditunjukkan. Begitu juga kita lakukan terhadap guru-guru kita. Insya-Allah segala ilmu yang diberikan akan diredhai oleh mereka. Kepada rakan-rakan kita beri kemaafan dan mudah-mudahan kita juga akan dimaafkan.

Kepada adik-adik saya, saya berdoa agar mereka dikurniakan hati yang terang dalam menjawab semua soalan semasa menghadapi peperiksaan pada tahun ini. Doa kami (saya, mak dan abah) sentiasa ada untuk kamu berdua. Insya-Allah, kamu akan berjaya.



No comments:

Post a Comment