Monday, September 5, 2011

Tiada Lagi Sepi Buatmu...



Selamat Pengantin Baru saya ucapkan untuk sahabat saya dan isterinya yang baru melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Saya berdoa agar jodoh mereka berkekalan dan hidup bahagia hingga ke akhirnya. Selama dua hari saya mengekori pasangan ini bagi merakamkan setiap detik manis sepanjang majlis perkahwinan mereka. Walaupun letih seronoknya tetap melampaui segalanya.

Sepanjang masa saya beramah mesra dengan pasangan pengatin ini, terdetik di hati saya alangkah baiknya kalau kedua mempelai itu adalah saya. Mana tidaknya, dalam usia di penghujung 20-an ini saya masih sendiri tanpa pernah ada cinta pertama. Teringat leteran ibu kepada seorang sahabat saya yang lain pula, "cuba tengok orang tu, muda lagi dah pandai atur hidup, ni dah tua pun masih tak tentu arah." Walaupun leteran itu untuk sahabat saya, terkena juga kepada diri saya.

Cerita tentang kahwin memang mudah bunyinya. Tetapi terlalu berat tanggungjawabnya. Tapi tidaklah pula saya maksudkan di sini saya tidak mahu memikul tanggangjawab tersebut kerana saya ada alasan-alasannya. Apa jua alasan yang saya beri bagi mempertahankan diri kenapa saya belum berkahwin lagi, pasti ada yang akan membidasnya. Jadi lebih baik saya satu dan padukan jawapan saya; saya belum bersedia. Titik. Jangan cuba nasihati saya.