Sunday, November 27, 2011

Dunia Baru

Selamat Pengantin Baru saya ucapkan kepada sahabat saya Shahrul Nizam dan isterinya, Roe. Semoga beroleh kebahagian dan ketenangan rumahtangga hingga ke akhirnya. Ini merupakan majlis perkahwinan kedua yang saya hadir dalam musim cuti sekolah ini. Harap-harap saya dapat lagi menghadiri majlis seperti ini sepanjang musim cuti ini.

Dalam saya melihat sahabat-sahabat saya yang kacak dan cantik bagaikan putera dan puteri raja dahulu kala di atas pelamin atau bertegur sapa dengan tetamu, saya tersenyum sendiri bila memikirkan segala apa yang muncul dalam kotak pemikiran saya. Tatkala melihat pasangan ini ber'posing' sakan di dalam bilik pengantin tatkala jurugambar mengambil gambar, saya teringat akan kata-kata seorang tokoh yang amat saya kagumi iaitu Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah supaya kita tidak berburuk sangka terhadap orang lain dan memaafkan sesiapa sahaja sebelum tidur kerana ditakuti kita akan menemui Ilahi tanpa sempat memberi kemaafkan kepada mereka.

Apabila teringatkan perkara ini, saya rasa amat tidak wajar sekiranya pasangan suami isteri masuk ke dalam bilik tidur tanpa memberi kemaafan kepada pasangan sekiranya ada kesilapan yang dilakukan. Rasanya amat tidak baik berbaring di samping pasangan dalam keadaan hati yang marah terhadap dirinya. Tetapi itulah realitinya di mana ramai yang tidak membuang perasaan marah itu sebelum masuk tidur. Pada pendapat saya, jika kita tidur dalam keadaan marah atau tidak puas hati terhadap pasangan, kita tidak akan mendapat tidur yang sempurna dan ini akan menjejaskan emosi dan prestasi diri kita keesokan harinya. Jadi lebih baik kita bermaaf-maafan demi kebaikan bersama.

Mungkin akan ada sahabat dengan sinisnya berkata saya tidak tahu apa-apa tentang alam perkahwinan kerana masih belum melaluinya, tetapi percayalah sekiranya perkara sekecil ini tidak diendahkan, jika berlaku dengan kerap akan menyebabkan kemusnahan. Kecil api kawan, besar api lawan.

No comments:

Post a Comment