Saturday, November 26, 2011

Empat Dalam Satu

Selamat Pengantin Baharu buat Ashima dan juga suami.
Semoga Allah SWT memberkati dan melimpahkan berkat serta menyatukan pasangan ini di dalam kebaikan hendaknya. Amin.

Agak pening bila memikirkan hadiah yang hendak diberikan kepada kawan-kawan yang bakal melangsungkan perkahwinan ini sebenarnya. Terasa kekok sekiranya hanya pergi dengan tangan kosong. Setelah agak lama berfikir hadiah apa yang hendak diberi, saya nekad mengambil sesuatu yang murah tetapi bermakna untuk diberikan kepada pasangan ini. Saya tidak merasakan pasangan ini kecewa dengan pemberian saya, sebaliknya tersenyum manis bila melihat dan membacanya.

Empat dalam satu. Itulah kesimpulan yang saya beri tentang pemberian saya kali ini. Kalau diberi kipas angin atau barangan lain, pastinya akan rosak juga nanti. Jadi saya berikan tips-tips ini agar menjadi pengikat kasih sayang yang pasti akan menjadikan ikatan mereka sebuah ikatan yang 'cukup rasa' hingga ke akhirnya. Tips-tips ini saya ambil dari sebuah blog dengan pertolongan En. Google. Terima kasih kepada saudari penulis blog.


Empat tips mencapai kebahagiaan rumahtangga:

(1) Komunikasi

Komunikasi adalah amat penting di dalam perhubungan. Rumahtangga yang bahagia akan terhasil daripada hubungan komunikasi yang baik. Tanpanya, pasti permasalahan yang wujud di dalam hubungan tidak dapat diselesaikan. Selain daripada itu, ia juga adalah cara paling sesuai untuk pasangan meluahkan perasaan yang terpendam. Luahan perasaan amat penting untuk mengelakkannya berubah menjadi dendam. Ia sangat berbahaya di dalam hubungan. Untuk memastikan rumahtangga bahagia, adalah perlu untuk memastikan bahawa kita mampu untuk berkomunikasi dengan baik terhadap pasangan.

(2) Kejujuran

Kejujuran juga merupakan tips penting untuk rumahtangga bahagia. Ini adalah kerana tanpa kejujuran akan membuatkan pasangan kita terasa seperti dianiaya. Perkara yang sering menjadi masalah adalah apabila peranan kejujuran hanya dimainkan oleh sebelah pihak sahaja. Keadaan pasti akan menjadi lebih buruk sekiranya segala penipuan yang dilakukan terbongkar. Sekiranya masing-masing mampu untuk jujur terhadap pasangan, pasti tiada masalah untuk menikmati rumahtangga yang bahagia.

(3) Kepercayaan

Kepercayaan adalah merupakan satu proses yang perlu dibina, dan ia tidak akan wujud dengan begitu sahaja. Bina kepercayaan pasangan dengan pembuktian yang mampu anda lakukan. Apabila kepercayaan telah wujud antara pasangan, pasti tiada pemikiran negatif yang akan timbul. Ini akan membantu rumahtangga menjadi bahagia. Apabila sudah berjaya untuk mendapatkan kepercayaan daripada pasangan, peliharalah ia sebaik mungkin kerana kepercayaan adalah merupakan satu proses yang sukar untuk dibina.

(4) Hormat-menghormati

Saling hormat-menghormati adalah merupakan elemen penting untuk rumahtangga kekal bahagia. Setiap manusia suka apabila merasakan diri mereka dihormati. Ia secara automatik akan memudahkan mereka untuk menghormati orang lain pula. Semestinya anda juga pasti berasa gembira apabila merasakan diri anda dihormati bukan? Apabila perasaan hormat wujud diantara kedua-dua belah pihak, pasti setiap luahan kata-kata akan lebih terbatas. Perlu tahu bahawa kata-kata boleh meninggalkan kesan luka yang dalam terhadap hati seseorang. Jangan sesekali meluahkan kata-kata mengikut perasaan.

No comments:

Post a Comment