Monday, November 14, 2011

Bila Nak Kahwin?

Hari ini genap umur saya 29 tahun. Masih rasa seperti biasa. Tiada perubahan pun yang muncul dalam diri bila berada dalam usia ini. Mungkin belum tiba masanya. Seperti biasa bila tiba hari lahir akan bermacam ucapan yang akan diterima. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada mereka yang sudi mendoakan sesuatu yang baik buat saya pada tarikh ini. Semuanya akan dikenang sampai bila-bila. Doakan saya 'Semoga cepat bertemu jodoh'.

Sunday, November 13, 2011

Dia Datang Lagi...


Musim peperiksaan datang lagi. Bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini, Selamat Menghadapi Peperiksaan saya ucapkan. Tidak lupa buat dua adik saya yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM pada 14 November dan 16 November ini. Setelah hampir dua tahun bertungkus-lumus mengulangkaji mata pelajaran yang diambil, kini tiba masa untuk dikeluarkan semula apa yang telah dipelajari. Untung nasib badan apa yang dibaca dan apa yang diramal akan keluar di dalam soalan dan begitu jugalah sebaliknya.

Saya rasa dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba, ada baiknya jika kita bertenang sekejap. Tarik nafas dan hembuskan nafas sebaik-baiknya. Perhatikan kehijauan alam dan kebiruan awan. Renung sejenak 'kebelakang'. Apakah tanggungjawab terhadap tuhan kita laksanakan? Dimanakah keredhaan ibu dan ayah kita? Adakah guru-guru kita memberkati apa segala yang diajarkan kepada kita? Pernahkah kita melukai perasaan kawan-kawan kita? Atau perlukah kita memaafkan mereka yang pernah menyakiti kita?

Bukan mahu sesakkan fikiran tatkala peperiksaan makin hampir di sisi. Sekadar mengingatkan apa yang selalu kita lakukan sewaktu peperiksaan hampir menjelma. Langkah mudah yang harus diambil tanpa perlu berfikir itu dan ini. Kita tenangkan diri dengan memuji kebesaranNya. Memohon, merayu, mengadu dan sebagainya kepada Yang Maha Pencipta. Kita mohon restu kedua ibu bapa. Mohon segala apa yang diberi dihalalkan dunia dan akhirat. Kita cium tangan, pipi, dahi agar segala kekusutan terurai dan terlerai bersama keikhlasan yang ditunjukkan. Begitu juga kita lakukan terhadap guru-guru kita. Insya-Allah segala ilmu yang diberikan akan diredhai oleh mereka. Kepada rakan-rakan kita beri kemaafan dan mudah-mudahan kita juga akan dimaafkan.

Kepada adik-adik saya, saya berdoa agar mereka dikurniakan hati yang terang dalam menjawab semua soalan semasa menghadapi peperiksaan pada tahun ini. Doa kami (saya, mak dan abah) sentiasa ada untuk kamu berdua. Insya-Allah, kamu akan berjaya.



Saturday, November 12, 2011

Dari Lensa Kameraku

Setelah hampir dua bulan menggunakan lensa 50 mm, saya dihubungi pusat servis Canon mengatakan lensa kamera saya telah siap diservis. Tanpa berlengah saya mengajak dua sahabat untuk menemani saya mengambil lensa tersebut. Sepanjang perjalanan saya tidak berhenti memperkatakan tentang itu dan ini. Kadang-kadang risau juga kalau-kalau sahabat saya bosan dan menyampah tentang isu yang saya timbulkan.

Bercerita tentang mulut, saya akui mulut saya memang tidak boleh berhenti bercakap. Apa yang keluar daripada mulut saya adalah sesuatu yang asli dan jujur. Selalu saja kawan-kawan bermulut jahat saya mengatakan mulut saya memang jahat. Tapi saya tahu mereka hanya sekadar bergurau. Sejahat-jahat mulut saya, masih ada pengalasnya. Ramai yang sukakannya. Buktinya saya sering diajak berbual dan ada kalanya tanpa saya suasana akan terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Itu kata-kata daripada beberapa sahabat saya. Tidak pula terasa bangga, tetapi saya tertanya-tanya apakah benar bagai yang dikata.

Selesai mengambil lensa dan sedikit perbincangan mengenai teknik mengambil gambar bersama juruteknik kamera di kedai berkenaan, kami makan malam di salah sebuah kedai makan yang agak ramai pelanggannya di kawasan ini. Selesai makan kami bersantai sekejap di Dataran Lumut melihat ragam manusia yang terdapat di situ. Tidak kurang juga yang menyaksikan ragam kami sebenarnya. Beberapa gambar kami rakamkan sebelum pulang sebagai kenangan kami malam itu.





Wednesday, November 9, 2011

Bengkel ICT


Rasanya setiap kali saya fikirkan tentang blog maka akan setiap kali jugalah kepala saya pusing. Kurang idea. Tapi teringin untuk mempunyai blog yang cantik dan 'berisi'. Bila seorang sahabat bertanya sama ada ingin atau tidak menyertai bengkel untuk membuat blog, saya segera bersetuju tanpa berfikir dua kali. Walaupun bengkel terpaksa ditangguhkan beberapa jam akibat masalah teknikal, semangat untuk mendalami dunia blog ini tidak padam dalam hati saya dan beberapa rakan yang lain. Beberapa jam mengikuti kursus, terasa ingin untuk terus menghidupkan blog yang selama ini bagaikan 'hidup segan mati tak mahu'.

Kepala Sesak


Malam ini terasa amat tidak stabil. Serabut dan kusut. Banyak tugasan yang belum siap sedangkan tarikh akhir penyerahan tugasan semakin hampir. Mungkin setelah berhari-hari membaca dan terus membaca untuk dapatkan bahan bagi menyiapkan tugasan, saya menjadi letih dan kelesuan. Maaflah kalau ada yang berfikir saya agak sombong sehari dua ini. Tetapi sebenarnya memikirkan tugasan yang perlu disiapkan. Peliknya semakin saya serabut semakin berselera saya makan. Contohnya semalam saya berjaya habiskan RM7.90 untuk sarapan. Hebat bukan? Malam ini pun tatkala saya kebuntuan, saya sempat mengirim pesanan ringkas mengajak kawan-kawan keluar makan walaupun akhirnya hanya saya seorang yang berada di warung yang dijanjikan.

Friday, November 4, 2011

Bahasa Jiwa Bangsa


Petang tadi selepas balik dari pejabat, saya terus mendengar rakaman syarahan tentang bahasa yang disampaikan oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh pada 27 Oktober lepas. Ada sesuatu yang saya dapat di situ dan amat besar ertinya. Kita memakai pakaian yang bersih dan cantik supaya nampak segak dan anggun; tetapi kita tidak sedar bahasa kita yang compang-camping telah mencacatkan segalanya.

Kesan daripada syarahan yang amat bermakna ini, saya berazam untuk menggunakan bahasa kebangsaan kita dengan betul dan bersopan. Sejuk mata hati bila mendengar ungkap kata yang teratur dan penuh dengan kesusilaan. Amat berharap suatu hari nanti saya akan menjadi seperti apa yang saya dengar petang tadi. Seorang manusia yang elok budi dan tutur kata.


Monday, September 5, 2011

Tiada Lagi Sepi Buatmu...



Selamat Pengantin Baru saya ucapkan untuk sahabat saya dan isterinya yang baru melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Saya berdoa agar jodoh mereka berkekalan dan hidup bahagia hingga ke akhirnya. Selama dua hari saya mengekori pasangan ini bagi merakamkan setiap detik manis sepanjang majlis perkahwinan mereka. Walaupun letih seronoknya tetap melampaui segalanya.

Sepanjang masa saya beramah mesra dengan pasangan pengatin ini, terdetik di hati saya alangkah baiknya kalau kedua mempelai itu adalah saya. Mana tidaknya, dalam usia di penghujung 20-an ini saya masih sendiri tanpa pernah ada cinta pertama. Teringat leteran ibu kepada seorang sahabat saya yang lain pula, "cuba tengok orang tu, muda lagi dah pandai atur hidup, ni dah tua pun masih tak tentu arah." Walaupun leteran itu untuk sahabat saya, terkena juga kepada diri saya.

Cerita tentang kahwin memang mudah bunyinya. Tetapi terlalu berat tanggungjawabnya. Tapi tidaklah pula saya maksudkan di sini saya tidak mahu memikul tanggangjawab tersebut kerana saya ada alasan-alasannya. Apa jua alasan yang saya beri bagi mempertahankan diri kenapa saya belum berkahwin lagi, pasti ada yang akan membidasnya. Jadi lebih baik saya satu dan padukan jawapan saya; saya belum bersedia. Titik. Jangan cuba nasihati saya.