Wednesday, September 4, 2013

Lama Menyepi

Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menjenguk blog ini. Amatlah tidak memberi perhatian kepada perkara-perkara ini setelah sekian lama. Hari ini saya memaksa adik saya untuk membuat blog kerana pada saya ini adalah sesuatu yang perlu ketika ini. Saya tidak mahu mereka terkebelakang sedangkan teman-teman sekeliling mempunyai tempat untuk berkarya dengan cara masing-masing. Saat itu juga saya terfikir kenapa saya tidak kembali memeriahkan blog saya. Walaupun saya ketandusan idea saya akan berusaha untuk memeriahkan ruangan ini dengan cara saya.

Ketika ini saya sedang menyusun atur bahan-bahan yang dicetak minggu lepas untuk persiapan sesi pembelajaran saya bermula September ini hingga bulan Jun 2014. Saya berharap tahun ini adalah tahun yang akan membakar semangat saya untuk terus lebih cemerlang dari tahun-tahun yang sebelumnya. Semoga 'pointer' saya akan terus meningkat dan berada sebaris dengan rakan-rakan saya yang cemerlang. Saya sangat berharap hasrat saya ini menjadi kenyataan. 



Kenapa saya seperti 'tiada' sebelum ini:
1. Saya seperti bosan dengan apa yang saya buat sebelum ini.
2. Saya selalu habiskan masa saya dengan rakan saya ini.
3. Saya terpaksa menyiapkan tugasan bagi menyempurnakan pembelajaran saya.
4. Saya asyik dengan Twitter, Instagram dan bersembang dengan rakan maya.
5. Saya asyik menonton wayang kerana saya mendapat harga pelajar. 

Wednesday, January 25, 2012

Bukit Bendera

Sesak fikiran seminggu dua ini. Banyak perkara yang perlu disiapkan. Tapi saya tabahkan juga diri untuk lalui semua ini. Semalam saya agak serabut. Seawal pagi saya telah menatap komputer menyiapkan tugasan yang perlu sampai ke USM selewat-lewatnya hujung bulan ini. Satu tugasan berjaya disiapkan, tinggal lagi tiga. Apa? Lagi tiga? Berjayakah tugasan ini disiapkan sebelum tiba waktunya? Dalam hati berdoa agar semuanya baik-baik sahaja.

Arghhh! Mengapa tatkala kesibukan melanda, mata selalu sahaja meminta untuk direhatkan? Bertahan agak lama akhirnya kehendak mata saya turutkan. Hampir dua jam juga kehendak mata saya turutkan. Segera tugasan sebelum ini saya siapkan. Satu jam berlalu. Dua jam berlalu. Sekali lagi mata meratap merayu. Hati terasa panas. Segera oksigen ditarik panjang, dengan harapan darah berjalan lancar. Agak berjaya. Tetapi sekejap sahaja. Lantas mengambil keputusan rehat seketika.

Sambil memandang kehijauan pepohon bakau dan kebiruan langit yang agak hitam, saya teringat Bukit Bendera yang mungkin dapat dijejaki bersama rakan-rakan semasa Kursus Intensif Februari nanti.Nampaknya sekali lagi saya hanyut dalam kesibukan. Haishhh! SILA FOKUS.

 

Friday, December 30, 2011

Tahun Baru 2012

Sekarang ini saya berada betul-betul di hadapan pintu Wad 6C, Hospital Ipoh. Bermula 28 Disember 2011, di sinilah tempat saya melepak antara lima ke enam jam sehari. Mesti tertanya-tanya mengapa saya di sini berhari-hari lamanya? 27 Disember 2011 jam 10.01 pagi keluarga saya diserikan lagi dengan kedatangan orang baru. Siapa? Sampai sekarang masih belum bernama. Walau apapun, selamat datang saya ucapkan kepada ahli keluarga saya yang baru ini.

Sedikit masalah pada ahli keluarga yang baru ini membuatkan kami resah dan gelisah. Berkat doa keluarga dan sahabat handai, Alhamdulillah, anak kecil ini selamat menjalani pembedahan pada 29 Disember 2011. Terasa lega sedikit hati yang resah dalam beberapa hari ini. Sekali lagi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi di atas segala kebesaranNya. Terima kasih kepada semua doktor dan staf Hospital Ipoh yang bertungkus-lumus memberi komitmen yang terbaik sepanjang bayi kecil ini menerima rawatan di sini. Kalau ada kesempatan mungkin sejambak bunga akan dikirimkan sebagai ucapan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan.



Sunday, November 27, 2011

Dunia Baru

Selamat Pengantin Baru saya ucapkan kepada sahabat saya Shahrul Nizam dan isterinya, Roe. Semoga beroleh kebahagian dan ketenangan rumahtangga hingga ke akhirnya. Ini merupakan majlis perkahwinan kedua yang saya hadir dalam musim cuti sekolah ini. Harap-harap saya dapat lagi menghadiri majlis seperti ini sepanjang musim cuti ini.

Dalam saya melihat sahabat-sahabat saya yang kacak dan cantik bagaikan putera dan puteri raja dahulu kala di atas pelamin atau bertegur sapa dengan tetamu, saya tersenyum sendiri bila memikirkan segala apa yang muncul dalam kotak pemikiran saya. Tatkala melihat pasangan ini ber'posing' sakan di dalam bilik pengantin tatkala jurugambar mengambil gambar, saya teringat akan kata-kata seorang tokoh yang amat saya kagumi iaitu Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah supaya kita tidak berburuk sangka terhadap orang lain dan memaafkan sesiapa sahaja sebelum tidur kerana ditakuti kita akan menemui Ilahi tanpa sempat memberi kemaafkan kepada mereka.

Apabila teringatkan perkara ini, saya rasa amat tidak wajar sekiranya pasangan suami isteri masuk ke dalam bilik tidur tanpa memberi kemaafan kepada pasangan sekiranya ada kesilapan yang dilakukan. Rasanya amat tidak baik berbaring di samping pasangan dalam keadaan hati yang marah terhadap dirinya. Tetapi itulah realitinya di mana ramai yang tidak membuang perasaan marah itu sebelum masuk tidur. Pada pendapat saya, jika kita tidur dalam keadaan marah atau tidak puas hati terhadap pasangan, kita tidak akan mendapat tidur yang sempurna dan ini akan menjejaskan emosi dan prestasi diri kita keesokan harinya. Jadi lebih baik kita bermaaf-maafan demi kebaikan bersama.

Mungkin akan ada sahabat dengan sinisnya berkata saya tidak tahu apa-apa tentang alam perkahwinan kerana masih belum melaluinya, tetapi percayalah sekiranya perkara sekecil ini tidak diendahkan, jika berlaku dengan kerap akan menyebabkan kemusnahan. Kecil api kawan, besar api lawan.

Saturday, November 26, 2011

Empat Dalam Satu

Selamat Pengantin Baharu buat Ashima dan juga suami.
Semoga Allah SWT memberkati dan melimpahkan berkat serta menyatukan pasangan ini di dalam kebaikan hendaknya. Amin.

Agak pening bila memikirkan hadiah yang hendak diberikan kepada kawan-kawan yang bakal melangsungkan perkahwinan ini sebenarnya. Terasa kekok sekiranya hanya pergi dengan tangan kosong. Setelah agak lama berfikir hadiah apa yang hendak diberi, saya nekad mengambil sesuatu yang murah tetapi bermakna untuk diberikan kepada pasangan ini. Saya tidak merasakan pasangan ini kecewa dengan pemberian saya, sebaliknya tersenyum manis bila melihat dan membacanya.

Empat dalam satu. Itulah kesimpulan yang saya beri tentang pemberian saya kali ini. Kalau diberi kipas angin atau barangan lain, pastinya akan rosak juga nanti. Jadi saya berikan tips-tips ini agar menjadi pengikat kasih sayang yang pasti akan menjadikan ikatan mereka sebuah ikatan yang 'cukup rasa' hingga ke akhirnya. Tips-tips ini saya ambil dari sebuah blog dengan pertolongan En. Google. Terima kasih kepada saudari penulis blog.


Empat tips mencapai kebahagiaan rumahtangga:

(1) Komunikasi

Komunikasi adalah amat penting di dalam perhubungan. Rumahtangga yang bahagia akan terhasil daripada hubungan komunikasi yang baik. Tanpanya, pasti permasalahan yang wujud di dalam hubungan tidak dapat diselesaikan. Selain daripada itu, ia juga adalah cara paling sesuai untuk pasangan meluahkan perasaan yang terpendam. Luahan perasaan amat penting untuk mengelakkannya berubah menjadi dendam. Ia sangat berbahaya di dalam hubungan. Untuk memastikan rumahtangga bahagia, adalah perlu untuk memastikan bahawa kita mampu untuk berkomunikasi dengan baik terhadap pasangan.

(2) Kejujuran

Kejujuran juga merupakan tips penting untuk rumahtangga bahagia. Ini adalah kerana tanpa kejujuran akan membuatkan pasangan kita terasa seperti dianiaya. Perkara yang sering menjadi masalah adalah apabila peranan kejujuran hanya dimainkan oleh sebelah pihak sahaja. Keadaan pasti akan menjadi lebih buruk sekiranya segala penipuan yang dilakukan terbongkar. Sekiranya masing-masing mampu untuk jujur terhadap pasangan, pasti tiada masalah untuk menikmati rumahtangga yang bahagia.

(3) Kepercayaan

Kepercayaan adalah merupakan satu proses yang perlu dibina, dan ia tidak akan wujud dengan begitu sahaja. Bina kepercayaan pasangan dengan pembuktian yang mampu anda lakukan. Apabila kepercayaan telah wujud antara pasangan, pasti tiada pemikiran negatif yang akan timbul. Ini akan membantu rumahtangga menjadi bahagia. Apabila sudah berjaya untuk mendapatkan kepercayaan daripada pasangan, peliharalah ia sebaik mungkin kerana kepercayaan adalah merupakan satu proses yang sukar untuk dibina.

(4) Hormat-menghormati

Saling hormat-menghormati adalah merupakan elemen penting untuk rumahtangga kekal bahagia. Setiap manusia suka apabila merasakan diri mereka dihormati. Ia secara automatik akan memudahkan mereka untuk menghormati orang lain pula. Semestinya anda juga pasti berasa gembira apabila merasakan diri anda dihormati bukan? Apabila perasaan hormat wujud diantara kedua-dua belah pihak, pasti setiap luahan kata-kata akan lebih terbatas. Perlu tahu bahawa kata-kata boleh meninggalkan kesan luka yang dalam terhadap hati seseorang. Jangan sesekali meluahkan kata-kata mengikut perasaan.

Monday, November 14, 2011

Bila Nak Kahwin?

Hari ini genap umur saya 29 tahun. Masih rasa seperti biasa. Tiada perubahan pun yang muncul dalam diri bila berada dalam usia ini. Mungkin belum tiba masanya. Seperti biasa bila tiba hari lahir akan bermacam ucapan yang akan diterima. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada mereka yang sudi mendoakan sesuatu yang baik buat saya pada tarikh ini. Semuanya akan dikenang sampai bila-bila. Doakan saya 'Semoga cepat bertemu jodoh'.

Sunday, November 13, 2011

Dia Datang Lagi...


Musim peperiksaan datang lagi. Bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini, Selamat Menghadapi Peperiksaan saya ucapkan. Tidak lupa buat dua adik saya yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM pada 14 November dan 16 November ini. Setelah hampir dua tahun bertungkus-lumus mengulangkaji mata pelajaran yang diambil, kini tiba masa untuk dikeluarkan semula apa yang telah dipelajari. Untung nasib badan apa yang dibaca dan apa yang diramal akan keluar di dalam soalan dan begitu jugalah sebaliknya.

Saya rasa dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba, ada baiknya jika kita bertenang sekejap. Tarik nafas dan hembuskan nafas sebaik-baiknya. Perhatikan kehijauan alam dan kebiruan awan. Renung sejenak 'kebelakang'. Apakah tanggungjawab terhadap tuhan kita laksanakan? Dimanakah keredhaan ibu dan ayah kita? Adakah guru-guru kita memberkati apa segala yang diajarkan kepada kita? Pernahkah kita melukai perasaan kawan-kawan kita? Atau perlukah kita memaafkan mereka yang pernah menyakiti kita?

Bukan mahu sesakkan fikiran tatkala peperiksaan makin hampir di sisi. Sekadar mengingatkan apa yang selalu kita lakukan sewaktu peperiksaan hampir menjelma. Langkah mudah yang harus diambil tanpa perlu berfikir itu dan ini. Kita tenangkan diri dengan memuji kebesaranNya. Memohon, merayu, mengadu dan sebagainya kepada Yang Maha Pencipta. Kita mohon restu kedua ibu bapa. Mohon segala apa yang diberi dihalalkan dunia dan akhirat. Kita cium tangan, pipi, dahi agar segala kekusutan terurai dan terlerai bersama keikhlasan yang ditunjukkan. Begitu juga kita lakukan terhadap guru-guru kita. Insya-Allah segala ilmu yang diberikan akan diredhai oleh mereka. Kepada rakan-rakan kita beri kemaafan dan mudah-mudahan kita juga akan dimaafkan.

Kepada adik-adik saya, saya berdoa agar mereka dikurniakan hati yang terang dalam menjawab semua soalan semasa menghadapi peperiksaan pada tahun ini. Doa kami (saya, mak dan abah) sentiasa ada untuk kamu berdua. Insya-Allah, kamu akan berjaya.