Monday, September 5, 2011

Tiada Lagi Sepi Buatmu...



Selamat Pengantin Baru saya ucapkan untuk sahabat saya dan isterinya yang baru melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Saya berdoa agar jodoh mereka berkekalan dan hidup bahagia hingga ke akhirnya. Selama dua hari saya mengekori pasangan ini bagi merakamkan setiap detik manis sepanjang majlis perkahwinan mereka. Walaupun letih seronoknya tetap melampaui segalanya.

Sepanjang masa saya beramah mesra dengan pasangan pengatin ini, terdetik di hati saya alangkah baiknya kalau kedua mempelai itu adalah saya. Mana tidaknya, dalam usia di penghujung 20-an ini saya masih sendiri tanpa pernah ada cinta pertama. Teringat leteran ibu kepada seorang sahabat saya yang lain pula, "cuba tengok orang tu, muda lagi dah pandai atur hidup, ni dah tua pun masih tak tentu arah." Walaupun leteran itu untuk sahabat saya, terkena juga kepada diri saya.

Cerita tentang kahwin memang mudah bunyinya. Tetapi terlalu berat tanggungjawabnya. Tapi tidaklah pula saya maksudkan di sini saya tidak mahu memikul tanggangjawab tersebut kerana saya ada alasan-alasannya. Apa jua alasan yang saya beri bagi mempertahankan diri kenapa saya belum berkahwin lagi, pasti ada yang akan membidasnya. Jadi lebih baik saya satu dan padukan jawapan saya; saya belum bersedia. Titik. Jangan cuba nasihati saya.

Wednesday, June 29, 2011

Bila Dua Menjadi Satu...



Selamat Pengantin Baru buat Helme dan isteri tersayang. Semoga kasih sayang yang dibina akan kekal berpanjangan.

Sebenarnya ini percubaan kedua saya dalam mengambil gambar perkahwinan. Tidak terfikir untuk terus terjebak secara mendalam dalam bidang ini, cuma hobi semata-mata. Tengok orang mengambil gambar dengan cantik, timbul keinginan untuk mencuba juga. Bila mendapat tahu tiada sesi bergambar di sebelah pihak pengantin lelaki, saya terpanggil untuk berbuat demikian di samping dapat berseronok dan bermesra bersama pasangan pengantin.

Sudah lama saya mengenali pengantin lelaki. Sejak di bangku sekolah lagi. Rasanya sudah hampir 14 tahun. Jadi tidak terasa kekok pun untuk berbual atau bergurau senda. Seharian juga saya berada di rumah pengantin. Menunggu dan terus menunggu untuk sesi bergambar yang telah dijanjikan. Terlalu ramai rakan-rakan yang datang menyebabkan sesi bergambar hanya bermula seawal jam 6.00 petang. Terkejar-kejar juga kami menyelesaikan sesi berkenaan. Terima kasih kepada Pangeran Erwan dan Matt182 di atas pertolongan yang telah diberikan.


Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu♥♥♥



"Selamat Hari Ibu" saya ucapkan buat satu-satunya ibu yang amat saya kasihi dan saya sayangi. Ibu saya yang pakai baju pink tu. Terasa kelu pula nak berbicara untuk post kali ini. Terlalu banyak yang saya nak luahkan tapi entahlah kenapa tak terkeluar apa yang ada di hati. Mungkin disebabkan pengorbanan ibu itu tidak terbalas dan tidak terungkap dengan kata-kata agaknya. Sebab itu saya rasa kosong semacam je. Saya sebak sebenarnya bila kenangkan tentang ibu. Renungan mata, senyuman, raut wajah.... arghhhh... tak nak saya post tentang hari ibu ni di sini. Sayu sangat rasanya. Mamat Poyo ni pasti nangis sebab dia sekarang jauh daripada mak dia. Kasihan dia. Apa yang paling penting saya hendak satu dunia tahu yang saya memang ikhlas sayangkan ibu saya. Sayang sangat-sangat. 


Wednesday, April 20, 2011

mr.TeDD

Hari ini kertas JTW114 pula. Lama sangat ulangkaji dari jam 2.45 pagi lagi. Berhenti sekejap rehatkan minda. Lepas ni boleh sambung semula. Saya sangat suka subjek ini sebenarnya. Tapi entah kenapa hari ini baca esok dah lupa. Mungkin sebab penuaan rasanya. Hahaha... Alasan semata. Perlu muhasabah diri mungkin ada salah dan silap di mana-mana.

Saya buka blog pink dan ternampak "new comment". Terangsang juga saya hendak membaca komen yang diterima. Ada kaitan dengan Mr.Tedd. Terpanggil pula saya untuk bercerita tentang Mr.Tedd pada semua. Tapi terasa malu pula. Maklumlah ini salah satu kisah silam saya. Masa muda-muda duhulu kala. Nak cerita ke tak? Tak nak ceritalah.Mungkin suatu hari nanti. Sekarang nak sambung baca buku. =)

Tuesday, April 19, 2011

Psikolah Sangat!

Arghhh... Saya tak suka sangat subjek Psikologi ni. Rasa dah psiko saya jadinya. Dulu saya suka bab berkaitan jiwa ni. Sekarang saya rasa sudah tak serasi lagi. Apalah saya nak jawab waktu peperiksaan sekejap lagi. Serabut jadinya. Kalau tak baca apa-apa, nanti nak jawab apa dalam peperiksaan?Saya amat berharap pengalaman hidup selama 28 tahun ini berguna untuk saya jawab kertas peperiksaan petang ini. Tekad saya sekarang cuba habiskan seberapa banyak bab yang boleh dihabiskan. Kawan-kawan tolong doakan saya boleh jawab soalan petang ni ye... =)

Monday, April 18, 2011

Sakit Perut

Permulaan hari yang kurang baik. Lebih kurang jam 9.00 pagi saya diserang sakit perut. Rasa resah dan gelisah. Cemas sangat. Mana tidaknya esok 19 April 2011 ada peperiksaan Statistik. Risau kalau ditahan di wad tak dapatlah saya mengambil peperiksaan tersebut. Takut melarat cepat-cepat saya telefon abah  minta tolong hantar ke klinik.

Sebenarnya sebelum ini saya ada pengalaman ditahan di wad Hospital Seberang Jaya sebab sakit perut. Masa tu saya seorang di rumah. Kakak dan abang balik kampung. Terpaksa minta jiran hantar ke hospital.

"Cik, saya boleh tunggu seminit je. Lebih pada tu cik angkat la saya. Sakit perut sangat ni." itu yang keluar dari mulut saya. Sudah hilang rasa malu sebab terlalu sakit. Gelak orang ramai yang ada di bahagian kecemasan masa tu.

Seminit kemudian saya sudah terbaring atas katil. Sebotol air dimasuk ke dalam badan saya. Satu suntikan di bahagian punggung. Rasa lega sedikit. Kemudian beritahu doktor supaya tahan di wad sebab di rumah tidak ada sesiapa. Terpaksalah doktor benarkan. 

Kejadian pada 2003 walaupun sudah lama tetap memberi kesan. Haraplah kali ini tak seteruk dulu. 

Sampai di klinik, macam dulu juga masuk air sebotol dan satu suntikan diberikan. Mulanya berpinau juga mata kesan ubat yang diberikan. Selepas lebih kurang 20 minit rasa makin okay. Sementara tunggu air habis masuk dalam badan, sempat juga ulangkaji nota Psikologi di atas tilam yang agak keras.  Setelah habis sebotol air yang dipasang terus ke farmasi ambil ubat dan segera balik. Lapar sangat. Sampai rumah terus makan dan tidur. Sebelah malamnya perut masih terasa sengal. Lepas makan malam ambil ubat, ulangkaji nota untuk peperiksaan esok dan bila mata dah semakin berat saya pun masuk tidur.

Pesanan buat rakan-rakan yang akan menduduki peperiksaan, jaga diri dan jaga pemakanan. Jangan jadi macam saya. Nasib sakit perut hari yang tiada peperiksaan. Kalau tidak mengulanglah subjek yang sama tahun hadapan. 

Monday, April 11, 2011

Minggu Peperiksaan: Kepala Sesak

Rasa macam baru sangat mendaftar masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM). Sedar tak sedar peperiksaan akhir sudah pun bermula. Saya berharap sangat dapat menjawab semua subjek untuk tahun ini dengan baik. Seboleh-bolehnya tahun hadapan janganlah mengulang subjek tertentu. Bila saya beritahu saya mengambil 11 subjek tahun ini, ramai yang tidak mempercayai kata-kata saya. Tapi realitinya begitulah kalau kami ingin menghabiskan pengajian (136 jam kredit) dalam empat tahun. Lagipun ini tahun pertama. Bagi pelajar baru macam saya, saya hanya ikut apa yang dicadangkan oleh Pengurus Rancangan. Sekiranya tahun ni keputusan tidak memberangsangkan, saya akan kurangkan subjek untuk tahun hadapan.

Tahun pertama ni boleh dikatakan setiap hari ada peperiksaan. Berulang-alik saya dan rakan-rakan dari Changkat Jering ke Ipoh. Kami mengambil keputusan berkongsi kereta. Kalau tidak parah juga perbelanjaan untuk minyak dan tol. Dalam kereta kami buat ulangkaji terakhir. Seorang demi seorang akan keluarkan fakta dan contoh tertentu sekiranya soalan yang berkaitan keluar dalam peperiksaan. Alhamdulillah, selalunya apa yang dibincangkan memang akan ada soalan yang berkaitan. Kepada rakan-rakan PJJ, terima kasih saya ucapkan. Pn. Ong, Ayam, Chef Raymond dan Baby, kalian memang terbaik. Semoga persahabatan kita kekal selamanya.

Terima kasih juga kepada semua yang telah banyak membantu sepanjang saya menyiapkan tugasan, latihan, kuiz dan lain-lain lagi berkaitan dengan pengajian saya. Jasa kalian akan saya kenang sampai bila-bila. Penghargaan tidak terhingga juga buat ibu dan bapa saya yang banyak membantu sepanjang saya bergelar pelajar semula. Terutama ibu saya yang tidak jemu kejut saya seawal pagi setiap Sabtu dan Ahad untuk menghadiri kelas di Ipoh. Terima kasih juga sebab tidak pernah jemu buatkan saya air setiap kali saya berjaga malam menyiapkan tugasan atau mengulangkaji pelajaran. Terima kasih juga kepada adik-adik perempuan saya yang sudi mengajar saya menggunakan kalkulator saintifik untuk pengiraan bagi subjek Statistik (dulu masa sekolah saya tak ambil Matematik Tambahan). 

Lega sikit rasanya kepala selepas menatap blog malam ni. Terima kasih kepada yang sudi membaca bebelan saya. Sambung "study" balik. Mohon semua doakan kejayaan saya dunia dan akhirat. Assalamualaikum.