Monday, April 11, 2011

Minggu Peperiksaan: Kepala Sesak

Rasa macam baru sangat mendaftar masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM). Sedar tak sedar peperiksaan akhir sudah pun bermula. Saya berharap sangat dapat menjawab semua subjek untuk tahun ini dengan baik. Seboleh-bolehnya tahun hadapan janganlah mengulang subjek tertentu. Bila saya beritahu saya mengambil 11 subjek tahun ini, ramai yang tidak mempercayai kata-kata saya. Tapi realitinya begitulah kalau kami ingin menghabiskan pengajian (136 jam kredit) dalam empat tahun. Lagipun ini tahun pertama. Bagi pelajar baru macam saya, saya hanya ikut apa yang dicadangkan oleh Pengurus Rancangan. Sekiranya tahun ni keputusan tidak memberangsangkan, saya akan kurangkan subjek untuk tahun hadapan.

Tahun pertama ni boleh dikatakan setiap hari ada peperiksaan. Berulang-alik saya dan rakan-rakan dari Changkat Jering ke Ipoh. Kami mengambil keputusan berkongsi kereta. Kalau tidak parah juga perbelanjaan untuk minyak dan tol. Dalam kereta kami buat ulangkaji terakhir. Seorang demi seorang akan keluarkan fakta dan contoh tertentu sekiranya soalan yang berkaitan keluar dalam peperiksaan. Alhamdulillah, selalunya apa yang dibincangkan memang akan ada soalan yang berkaitan. Kepada rakan-rakan PJJ, terima kasih saya ucapkan. Pn. Ong, Ayam, Chef Raymond dan Baby, kalian memang terbaik. Semoga persahabatan kita kekal selamanya.

Terima kasih juga kepada semua yang telah banyak membantu sepanjang saya menyiapkan tugasan, latihan, kuiz dan lain-lain lagi berkaitan dengan pengajian saya. Jasa kalian akan saya kenang sampai bila-bila. Penghargaan tidak terhingga juga buat ibu dan bapa saya yang banyak membantu sepanjang saya bergelar pelajar semula. Terutama ibu saya yang tidak jemu kejut saya seawal pagi setiap Sabtu dan Ahad untuk menghadiri kelas di Ipoh. Terima kasih juga sebab tidak pernah jemu buatkan saya air setiap kali saya berjaga malam menyiapkan tugasan atau mengulangkaji pelajaran. Terima kasih juga kepada adik-adik perempuan saya yang sudi mengajar saya menggunakan kalkulator saintifik untuk pengiraan bagi subjek Statistik (dulu masa sekolah saya tak ambil Matematik Tambahan). 

Lega sikit rasanya kepala selepas menatap blog malam ni. Terima kasih kepada yang sudi membaca bebelan saya. Sambung "study" balik. Mohon semua doakan kejayaan saya dunia dan akhirat. Assalamualaikum.

2 comments:

  1. penghargaan utk aku x de ke...:(

    ReplyDelete
  2. erm... takde kot!! sbb hg selalu ngelat dr tolong wat asgmnt aku..huhu

    ReplyDelete