Wednesday, November 9, 2011

Bengkel ICT


Rasanya setiap kali saya fikirkan tentang blog maka akan setiap kali jugalah kepala saya pusing. Kurang idea. Tapi teringin untuk mempunyai blog yang cantik dan 'berisi'. Bila seorang sahabat bertanya sama ada ingin atau tidak menyertai bengkel untuk membuat blog, saya segera bersetuju tanpa berfikir dua kali. Walaupun bengkel terpaksa ditangguhkan beberapa jam akibat masalah teknikal, semangat untuk mendalami dunia blog ini tidak padam dalam hati saya dan beberapa rakan yang lain. Beberapa jam mengikuti kursus, terasa ingin untuk terus menghidupkan blog yang selama ini bagaikan 'hidup segan mati tak mahu'.

Kepala Sesak


Malam ini terasa amat tidak stabil. Serabut dan kusut. Banyak tugasan yang belum siap sedangkan tarikh akhir penyerahan tugasan semakin hampir. Mungkin setelah berhari-hari membaca dan terus membaca untuk dapatkan bahan bagi menyiapkan tugasan, saya menjadi letih dan kelesuan. Maaflah kalau ada yang berfikir saya agak sombong sehari dua ini. Tetapi sebenarnya memikirkan tugasan yang perlu disiapkan. Peliknya semakin saya serabut semakin berselera saya makan. Contohnya semalam saya berjaya habiskan RM7.90 untuk sarapan. Hebat bukan? Malam ini pun tatkala saya kebuntuan, saya sempat mengirim pesanan ringkas mengajak kawan-kawan keluar makan walaupun akhirnya hanya saya seorang yang berada di warung yang dijanjikan.

Friday, November 4, 2011

Bahasa Jiwa Bangsa


Petang tadi selepas balik dari pejabat, saya terus mendengar rakaman syarahan tentang bahasa yang disampaikan oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh pada 27 Oktober lepas. Ada sesuatu yang saya dapat di situ dan amat besar ertinya. Kita memakai pakaian yang bersih dan cantik supaya nampak segak dan anggun; tetapi kita tidak sedar bahasa kita yang compang-camping telah mencacatkan segalanya.

Kesan daripada syarahan yang amat bermakna ini, saya berazam untuk menggunakan bahasa kebangsaan kita dengan betul dan bersopan. Sejuk mata hati bila mendengar ungkap kata yang teratur dan penuh dengan kesusilaan. Amat berharap suatu hari nanti saya akan menjadi seperti apa yang saya dengar petang tadi. Seorang manusia yang elok budi dan tutur kata.


Monday, September 5, 2011

Tiada Lagi Sepi Buatmu...



Selamat Pengantin Baru saya ucapkan untuk sahabat saya dan isterinya yang baru melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Saya berdoa agar jodoh mereka berkekalan dan hidup bahagia hingga ke akhirnya. Selama dua hari saya mengekori pasangan ini bagi merakamkan setiap detik manis sepanjang majlis perkahwinan mereka. Walaupun letih seronoknya tetap melampaui segalanya.

Sepanjang masa saya beramah mesra dengan pasangan pengatin ini, terdetik di hati saya alangkah baiknya kalau kedua mempelai itu adalah saya. Mana tidaknya, dalam usia di penghujung 20-an ini saya masih sendiri tanpa pernah ada cinta pertama. Teringat leteran ibu kepada seorang sahabat saya yang lain pula, "cuba tengok orang tu, muda lagi dah pandai atur hidup, ni dah tua pun masih tak tentu arah." Walaupun leteran itu untuk sahabat saya, terkena juga kepada diri saya.

Cerita tentang kahwin memang mudah bunyinya. Tetapi terlalu berat tanggungjawabnya. Tapi tidaklah pula saya maksudkan di sini saya tidak mahu memikul tanggangjawab tersebut kerana saya ada alasan-alasannya. Apa jua alasan yang saya beri bagi mempertahankan diri kenapa saya belum berkahwin lagi, pasti ada yang akan membidasnya. Jadi lebih baik saya satu dan padukan jawapan saya; saya belum bersedia. Titik. Jangan cuba nasihati saya.

Wednesday, June 29, 2011

Bila Dua Menjadi Satu...



Selamat Pengantin Baru buat Helme dan isteri tersayang. Semoga kasih sayang yang dibina akan kekal berpanjangan.

Sebenarnya ini percubaan kedua saya dalam mengambil gambar perkahwinan. Tidak terfikir untuk terus terjebak secara mendalam dalam bidang ini, cuma hobi semata-mata. Tengok orang mengambil gambar dengan cantik, timbul keinginan untuk mencuba juga. Bila mendapat tahu tiada sesi bergambar di sebelah pihak pengantin lelaki, saya terpanggil untuk berbuat demikian di samping dapat berseronok dan bermesra bersama pasangan pengantin.

Sudah lama saya mengenali pengantin lelaki. Sejak di bangku sekolah lagi. Rasanya sudah hampir 14 tahun. Jadi tidak terasa kekok pun untuk berbual atau bergurau senda. Seharian juga saya berada di rumah pengantin. Menunggu dan terus menunggu untuk sesi bergambar yang telah dijanjikan. Terlalu ramai rakan-rakan yang datang menyebabkan sesi bergambar hanya bermula seawal jam 6.00 petang. Terkejar-kejar juga kami menyelesaikan sesi berkenaan. Terima kasih kepada Pangeran Erwan dan Matt182 di atas pertolongan yang telah diberikan.


Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu♥♥♥



"Selamat Hari Ibu" saya ucapkan buat satu-satunya ibu yang amat saya kasihi dan saya sayangi. Ibu saya yang pakai baju pink tu. Terasa kelu pula nak berbicara untuk post kali ini. Terlalu banyak yang saya nak luahkan tapi entahlah kenapa tak terkeluar apa yang ada di hati. Mungkin disebabkan pengorbanan ibu itu tidak terbalas dan tidak terungkap dengan kata-kata agaknya. Sebab itu saya rasa kosong semacam je. Saya sebak sebenarnya bila kenangkan tentang ibu. Renungan mata, senyuman, raut wajah.... arghhhh... tak nak saya post tentang hari ibu ni di sini. Sayu sangat rasanya. Mamat Poyo ni pasti nangis sebab dia sekarang jauh daripada mak dia. Kasihan dia. Apa yang paling penting saya hendak satu dunia tahu yang saya memang ikhlas sayangkan ibu saya. Sayang sangat-sangat. 


Wednesday, April 20, 2011

mr.TeDD

Hari ini kertas JTW114 pula. Lama sangat ulangkaji dari jam 2.45 pagi lagi. Berhenti sekejap rehatkan minda. Lepas ni boleh sambung semula. Saya sangat suka subjek ini sebenarnya. Tapi entah kenapa hari ini baca esok dah lupa. Mungkin sebab penuaan rasanya. Hahaha... Alasan semata. Perlu muhasabah diri mungkin ada salah dan silap di mana-mana.

Saya buka blog pink dan ternampak "new comment". Terangsang juga saya hendak membaca komen yang diterima. Ada kaitan dengan Mr.Tedd. Terpanggil pula saya untuk bercerita tentang Mr.Tedd pada semua. Tapi terasa malu pula. Maklumlah ini salah satu kisah silam saya. Masa muda-muda duhulu kala. Nak cerita ke tak? Tak nak ceritalah.Mungkin suatu hari nanti. Sekarang nak sambung baca buku. =)